Monday, August 22, 2011

Satu KLIK Malapetaka Berterusan

Di zaman ICT dan Globalisasi ini kemudahan komputer dan email hampir ada pada setiap orang yang bekerja di sektor swasta juga kerajaan termasuk kepada pelajar-pelajar di kolej dan universiti. Kemudahan internet yang disediakan dengan kadar yang semakin munasabah menyebabkan kemudahan email ini menjadi semakin popular.

Pernahkah kita terfikir dengan satu “KLIK” sahaja akan menyebabkan mencurah-curah dosa yang di terima secara berterusan hingga hari kiamat.
Apa yang penulis akan bincangkan adalah berdasarkan dua buah Hadis Sahih berikut.

Mafhumnya::
Ibnu Mas’ud ra. berkata: Bersabda Nabi s.a.w. : “Tiada suatu jiwa yang terbunuh dengan penganiayaan, melainkan putera Adam yang pertama dahulu itu, mendapat bahagian dari penumpahan darah itu, kerana ia yang pertama membuka jalan untuk penumpahan darah.”(Diriwayatka n oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah kisah pembunuhan Qabil terhadap Habil kerana Qabil dengki terhadap Habil yang berkahwin dengan kembarnya yang lebih cantik.

Mafhumnya:
Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat, maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala) pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun. (Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Bagi memudahkan kefahaman akan maksud hadis-hadis di atas dan berkaitan dengan konteks kehidupan kita pada zaman ICT ini, mari kita ambil iktibar dari kisah berikut.
Zack baharu tamat belajar di sebuah universiti kemudian di terima bekerja di sebuah syarikat ICT. Setiap pekerja dibekalkan dengan komputer, alamat email dan internet akses bagi memudahkan urusan kerja seharian.

Zack mempunyai ramai kawan dan mereka berhubung melalui email setiap hari. Masa lapang Zack diisi dengan melayari laman web lucah. Kegemarannya ialah memuat turun (download) gambar-gambar lucah itu kemudian berkongsi dengan kawan-kawannya melalui email.

Dia mempunyai “email group” dan ada 50 alamat email kawan-kawannya di dalam “emailgroup” tersebut. Sekali menghantar email, dia akan menghantar kepada “emailgroup” tersebut.

Selain daripada itu dia juga suka menghantar semula email yang diterima daripada rakan yang lain ke “emailgroup” . Di antara kandungan email itu adalah kisah-kisah yang mengaibkan seseorang seperti video klip bercium di dalam lif, kisah seluar dalam yang dijumpai di dalam periuk di restoran mamak dan seumpamanya lagi yang kebanyakannya adalah perkara-perkara yang nafsu kita seronok membacanya dan melihatnya tetapi hukumnya adalah jelas haram di sisi syariat Islam.

Pada suatu hari ketika pulang dari tempat kerja Zack terlibat dengan kemalangan jalan raya dan kembali kerahmatullah di tempat kejadian.

Di dalam Islam telah sepakat ulama’ bahawa hukum melihat gambar-gambar lucah, menyebarkan fitnah, membuka aib dan seumpamanya adalah haram serta berdosa kepada mereka yang melakukannya dan menyebarkannya.

Untuk memudahkan kefahaman, katakan Zack telah mendapat satu dosa kerana menghantar gambar-gambar lucah kepada kawan-kawannya. Gambar tersebut diterima oleh 50 orang kawan-kawannya melalui email. Kesemua kawan-kawannya seronok dengan gambar tersebut dan meredai perbuatan Zack maka setiap kawannya mendapat satu dosa manakala dosa setiap kawannya itu juga diberikan kepada Zack jadilah sekarang dosa Zack 1+50 = 51.

Setiap kawan-kawan Zack itu pula menghantar gambar tersebut kepada 10 orang lagi, maka sekarang dosa Zack akan bertambah lagi menjadi 1+50+500=551 dosa. Kemudian setiap sepuluh orang itu menghantar lagi kepada 10 orang yang lain, bertambahlah dosa Zack menjadi 1+50+500+5000= 5551. Begitulah seterusnya.

Zack telah meninggal dunia, email nya masih lagi tersebar, maka akan berterusanlah dia mendapat dosa selagi email itu berlegar di ruang cyber hingga hari kiamat.

Begitulah iktibar yang boleh diambil daripada apa yang berlaku kepada Qabil, setiap jiwa yang mati dibunuh kerana hasad dengki manusia, maka dosa membunuh itu akan juga sampai kepada Qabil hingga hari kiamat. Bayangkanlah berapa ramaikah jiwa yang telah kena bunuh dengan zalim sejak dari zaman nabi Adam hingga sekarang? Dan berapakah dosa yang terpaksa ditanggung oleh Qabil di akhirat kelak?

Berbalik kepada kisah Zack, katakan sebelum meninggal dunia, Zack telah sempat bertaubat, insya’Allah dosa manusia terus dengan Allah, seperti meninggalkan puasa, zakat dan solat fardu akan Allah ampunkan tetapi dosa kita sesama manusia hanya Allah akan ampunkan bila insan tersebut mengampunkan kita. Zack telah menyebarkan perkara yang menyebabkan orang lain berdosa, bagaimanakah dia nak mintak ampun dengan semua yang menerima email tersebut? Selagi mereka semua tidak mengampunkan Zack maka selagi itulah dia akan terima dosa hingga kiamat kelak.

Inilah malapetaka yang sangat besar pada zaman ICT ini. Dengan sekali klik sahaja saham dosa akan mencurah-curah sampai kepada kita.

Sebab itu setiap kali apabila kita menerima email, hendaklah berhati-hati, jika kandungan email itu adalah gambar lucah atau yang mengaibkan seseorang muslim lain atau sesuatu fitnah hendaklah segera dibuang dan jangan ada sedetik pun didalam hati untuk seronok dengan benda yang haram bagi mengelakkan kita dan pengirim dari berdosa.

Yang sebaiknya jika yang diterima itu haram, nasihatkanlah pengirim supaya bertaubat dan berhati-hati di masa-masa akan datang.

Sebaliknya jika kita menyebarkan perkara-perkara yang baik dan diredai oleh Allah SWT yang pastinya ganjaran pahala yang di terima pasti mencurah-curah selagi ia masih terus di sebarkan.
Wallahhu’alam

Oleh: Ismail Abu Bakar

Thursday, August 18, 2011

Mana MAK?

Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “ Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.

Dua puluh tahun kemudian
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”

Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.

Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"

Ateh menjawab, “Entah.”


Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.

Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.


Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.

Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"
Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.

Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.


Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nomor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.


Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"


Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .

Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.

Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.


Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.


Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.

Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.

Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.


Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."


Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.


Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.


Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.


Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.


Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.


Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.

Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."

Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.


Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”

Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.

Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.


Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.

Beberapa tahun kemudian
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.

Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.


Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.

Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.

Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.

Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..
Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.
Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "

Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."


"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..


Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"


Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.


Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak yang kadang-kadang lupa persaan ibu. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa
. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?