-Hang Tuah, Melaka
Suatu hari semasa Dr. Izham Nayan, 43 sedang berbual-bual
dengan seorang lelaki warak yang dipanggilnya Pak Syeikh, terpacul dari mulut
orang tua itu mengenai soal perpaduan orang Melayu silam
“Hisss!! Sapa kata Hang Jebat mati dibunuh Hang Tuah?
Mengarut..!! Pak Syeikh melenting ketika melontarkan kata-katanya.
“Ini tidak benar!” sambung Pak Syeikh lagi.
Dr. Izham terus mendengar kata-kata Pak Syeikh itu dengan
penuh minat. Berdasarkan pengalaman Pak Syeikh itu, manakan bisa dua saudara
pahlawan sateria melayu seagama yang telah mengaku bersaudara, berbunuh-bunuhan
sesama sendiri?
Berdasarkan cerita Pak Syeikh, dua pahlawan Melayu
bersaudara sedari kecil telah berjaya melawan lanun-lanun Siam yang mengganas
di utara negeri Kedah.
Keberanian tujuh bersaudara itu menyebabkan mereka terpilih
menjadi anak angkat Sultan Kedah seterusnya diutus membantu Sultan Melaka
menghalau lanun-lanun yang bermaharajalela di perairan Melaka. Hang Tuah
akhirnya dilantik menjadi Laksamana Melaka. Rakan-rakannya menjadi hulubalang
istana.
“Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir, Hang
Lekiu, hangpa semua pi tolong raja Melaka. Depa tu ada masaalah penyamun!
“Hang (loghat Kedah) ertinya kamu. Sekarang nama Lekir,
Lekiu merupakan nama tempat di Kedah,” terang Pak Syeikh itu kepada Dr. Izham.
Pak Syeikh berhujah lagi, seandainya dua manusia kepala
penyamun yang saling bermusuhan sekalipun, jika dikurung dalam sebuah rumah
selama tujuh hari tujuh malam pasti mereka akan berbaik-baik semula.
“Inikan pula saudara sesumpah! Sebangsa dan seagama. Manakan
boleh diterima akal, mereka bertarung tiga hari tiga malam tanpa henti,
kemudian berbunuhan?” soal Pak Syeikh lagi.
Pak Syeikh mengulangi lagi bahawa Hang Tuah dan Hang Jebat
tidak berbunuh-bunuhan sesama sendiri.
“Tak. Mereka berdua mencari akal macam mana nak selesaikan
soal perpaduan bangsa Melayu. Setiap penyakit ada ubatnya!” beritahu Pak
Syeikh.
Persoalan yang dilontarkan Pak Syeikh itu ada kebenarannya.
Dr. Izham yang juga Pengarah Majlis Permuafakatan Ummah (PEWARIS) melihat hujah
yang dibawa Pak Syeikh itu dari sudut positif.
Beliau membelek semula pelbagai versi naskah Hikayat Hang
Tuah dan Sejarah Moden Melayu. Berdasarkan kajian, terdapat sebanyak 11 versi
kesemuanya ada menceritakan pertikaman antara Hang Jebat dan Hang Tuah. Mungkin
apa yang diceritakan Pak Syeikh ini versi ke-12 yang terlepas pandang oleh
pengkritik dan pengkaji sejarah Melayu.
Atau mungkin juga apa yang diceritakan Pak Syeikh ini suatu
lagenda!. Atau mungkin suatu analogi baru yang sengaja dicipta untuk menolak
versi bangsa Melayu sangup berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Versi baru ini
lebih positif untuk perpaduan Melayu.
Dr. Izham terfikir ada baiknya Hang Jebat tidak mati di
tangan Hang Tuah. Benar seperti kata Pak Syeikh itu bahawa selagi bernama
Melayu, mana mungkin mereka sanggup berbunuh-bunuhan sesama sendiri! Inikan
pula bertikam selama tiga hari tiga malam tanpa henti!
Dr. Izham melihat adengan ketika pertelingkahan berlaku
antara Hang Jebat dan Hang Tuah suatu taktik paling hebat dalam sejarah
kepahlawanan Melayu. Di sinilah letaknya seni persilatan orang Melayu.
Ketika itu para tali barut dan kroni Sultan Melaka dan Pateh
Gajah Mada asyik mengendap untuk menyaksikan perlawanan tersebut.
Keadaan meyebabkan Hang Tuah dan Hang Jebat berhenti
sebentar untuk mencari akal. Pada perkiraan Dr. Izham perlawanan tesebut tidak
lebih hanyalah sebagai ‘berlatih’ saja. Maklumlah sudah lama Hang Jebat dan
Hang Tuah tidak bertemu dan mempraktis ilmu persilatan masing-masing.
Pada hemat Dr. Izham, mana mungkin Hang Jebat sanggup
melepaskan Taming sari yang keramat itu hingga terpacak ke lelangit bumbung
istana? Melainkan ia dibuat secara sengaja! Ya! Taktik ini dipercayai
disengajakan.
Akhirnya Hang Jebat mencederakan sendiri jari kelengkengnya
dengan keris sultan yang dibawa Hang Tuah didalam gulungan langsir. Perbuatan
Hang Jebat itu pula dilakukan secara beselindung bagi membolehkan tidak ada
mata kroni Sultan Melaka mahupun Pateh Gajah Mada mengetahuinya.
Hang Tuah pula berpura-pura menyerang dengan keris Taming
Sari yang telah bertukar tangan. Disinilah terletaknya kehebatan taktik Hang
Tuah dan Hang Jebat.
Keris Taming Sari terkenal amat berbisa dan tidak wajar Hang
Jebat menggunakan keris tersebut untuk melukai jarinya, melainkan ia mesti
bertukar tangan dengan hang Tuah.
“Kalau tak tukar, bila Hang jebat hiris jari kelengkeng
boleh bawa maut!” hujah Dr. Izham.
Hang Jebat pula berpura-pura memekap perutnya dengan tangan
kiri yang berlumuran darah, mengikat dan merenjiskan darah tersebut pada kain
langsir istana. Para pengampu dan pembodek sultan bersorak mengatakan Hang
Jebat sudah ditikam Hang Tuah! Walhasil…itu hanya sandiwara belaka.
“Orang bukan lihat luka, orang lihat darah…” kata Dr. Izham
lagi.
Pada hemat Dr. Izham, keadaan itu membolahkan Hang Jebat
mengamuk dengan selesa selama tujuh hari tujuh malam membunuh hanya para kroni,
pengampu sultan dan pengadu domba kepada Hang Tuah.
Jika Hang Jebat ditikam dengan Taming Sari, mana mungkin
pahlawan itu masih boleh mengamuk selama itu? Tentu tidak logik sebab keris
Taming Sari amat berbisa.
Sekali lagi Dr. Izham berhujah, melainkan bukan keris Taming
Sari yang digunakan sebaliknya keris milik Sultan Melaka dan luka kecil hanya
pada jari kelengkeng sahaja bagi meyimbah darah ke perut Hang Jebat.
Setelah habis mengamuk Hang Jebat kononya dikatakan mati
dirumah Hang Tuah. Sekali lagi kejadian ini tidak lojik. Namun tidak seorang
pun dibenarkan melihat jenazah Hang Jebat.
“Syoknya, Hang Jebat mati diriba Hang Tuah!” cerita Dr.
Izham.
Kononya Hang Tuahlah yang memandikan, mengapankan dan
meyembahyangkan sendiri jenazah Hang Jebat.
Lojiknya, kata Dr. Izham selepas Hang Jebat membersihkan
saki-baki pengampu, kroni sultan Hang Tuah dan Hang Jebat selepas itu kembali
semula mendalami ilmu persilatan dengan guru mereka Adi Putera.
Dua pahlawan itu seterusnya memohon untuk pergi merantau
sehinggalah ke Pattani membuka pesantren di sana dan mengajar murid-murid ilmu
persilatan dan mengaji Al-Quran.
Melalui identiti baru itu mereka berdua berjaya melahirkan
ramai pahlawan melayu yang hebat dan terkenal memerangi penjajahan di
Nusantara.
Paling menarik, Dr. Izham menyatakan kesemua ahli keluarga
Hang Jebat dan Hang Tuah pulang semula ke Kedah dan tinggal di Pulau Melaka di
Langkawi.
Dr. Izham ada juga mendengar cerita orang bahawa Mahsuri
adalah dari susur galur keturunan Hang Tuah. Mereka membawa bersama resepi
makanan tradisi dan menamakannya sempena negeri Melaka.
Umpamanya cabai melaka kerana orang Melaka suka makan pedas,
buah Melaka, gula Melaka dan lain lain lagi.
Akhir kalam, Dr. Izham sekali lagi bersetuju dengan Pak
Syeikh bahawa dalam soal perpaduan orang Melayu : ‘Air dicincang tak akan
putus!’
Sesukar manapun situasi yang dihadapi, pasti ada muslihat
bagi menyelesaikannya tanpa mengorbankan nyawa orang Melayu.
Berdasarkan kisah Hang Tuah dan Hang Jebat tadi, pihak
istana mahukan si Jebat dibunuh maka tidak ada masaalah bagi Tuah membunuh nama
si Jebat. Perkara ini perlu dilakukan berhati-hati agar titah raja tetap
keramat. Yang mati adalah nama Hang Jebat, bukan semangatnya. Hang Tuah dan
Hang Jebat hidup sampai ke tua mencapai taraf makam wali.
Berdasarkan lagenda ini, Dr. Izham menyimpulkan bahawa orang
Melayu telah banyak kali diuji sejak peristiwa Hang Tuah bertikam dengan Hang
Jebat, Malayan Union dan peristiwa 13 Mei 1969.
“Menariknya, dalam menghadapi soal genting ini, orang Melayu
kembali bersatu! Kembali kuat!” katanya.
Dr. Izham percaya orang Melayu sekali akan bersatu sekiranya
survival kehidupan mereka diancam dan terancam oleh suasana sekeliling yang
mencemaskan masa depan bangsa dan agama Islam.
“Jika tidak bersatu kata-kata ‘Takkan Melayu Hilang Didunia’
hanya tinggal nama!” kata Dr. Izham mengingatkan.
No comments:
Post a Comment